Ketua jurulatih skuad memanah negara, Lee Jae Hyung, enggan menghiraukan keadaan terkini pemanah Korea Selatan, Kim Woo Jin, yang akan berdepan Khairul Anuar Mohamad dalam pusingan 16 acara recurve individu lelaki esok.

Woo Jin -- yang senegara dengan Jae Hyung -- dilihat sebagai pencabar utama dalam perebutan pingat selepas membantu pasukannya mempertahankan ingat emas acara berpasukan lelaki Isnin lalu.

Sebaliknya, Jae Hyung mahu pemanah negara, Khairul Anuar, hanya fokus kepada persediaannya sendiri walaupun sesi latihan di Lapangan Memanah Yumenoshima hari ini tergendala gara-gara cuaca hujan dan berpetir.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Jae Hyung berkata: "Kami memang sudah lama mengenalinya tetapi untuk perlawanan kali ini, sukar nak cakap kerana hanya akan tahu siapa lebih handal dalam perlawanan. Kena lihat juga faktor angin dan panahan siapa lebih konsisten dan stabil.

"Sebelum ini memang saya dan Khairul selalu berjumpa dan bertegur sapa dengannya tetapi kali ini, kami hanya akan menumpukan kepada persiapan masing-masing," katanya.