Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melucutkan akreditasi dua jurulatih Belarus pada ketika siasatan mengenai saga pelari pecut, Krystina Tsimanouskaya, diteruskan.

Tsimanouskaya enggan menaiki pesawat untuk pulang dari Jepun ke negaranya minggu ini dengan mendakwa telah dipaksa ke lapangan terbang tanpa persetujuannya selepas mengkritik secara terbuka persatuan sukannya dalam media sosial.

Dia hanya sempat bertanding dalam satu acara, menamatkan saringan 100 meter di tempat keempat, sebelum dibatalkan penyertaan oleh pegawai Belarus. Dia sepatutnya turut beraksi dalam acara 200m tetapi mendakwa telah dipaksa menyertai acara 4x400m biarpun tidak pernah berlumba dalam acara itu.

IOC mengumumkan hari ini bahawa mereka telah menubuhkan jawatankuasa disiplin bagi "menyiasat keadaan melibatkan peranan yang dimainkan jurulatih, Encik Arthur Simak dan Encik Yury Maisevich".

Badan pengelola itu menambah bahawa mereka telah "membatalkan dan menghapuskan" akreditasi dua jurulatih itu sebagai langkah sementara "demi kesejahteraan atlet NOC Belarus yang masih berada di Tokyo".

IOC berkata jurulatih berkenaan telah diarahkan untuk meninggalkan Perkampungan Sukan Olimpik malam tadi dan telah melakukannya, sambil menambah, "mereka akan diberikan peluang untuk sesi pendengaran kes".

Tsimanouskaya berlepas ke Warsaw, Rabu lalu selepas diberikan visa kemanusiaan oleh Poland.

Yayasan Solidariti Sukan Belarus berpendapat atlet berusia 24 tahun itu berdepan ketakutan terhadap ancaman nyawanya sekiranya pulang ke Minsk.

Negara berkenaan di bawah kepimpinan Presiden, Alexander Lukashenko, yang anaknya merupakan pemimpin jawatankuasa olimpik nasional (NOC) mereka. Kedua-dua individu itu, pada Disember lalu, telah dilarang untuk menghadiri sebarang acara Sukan Olimpik Tokyo 2020.