Impian Novak Djokovic untuk menjadi pemain lelaki pertama memenangi Golden Slam musnah sebaik tewas di tangan Alexander Zverev dalam separuh akhir acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

Selepas memenangi set pertama, Djokovic kemudian melepaskan lapan game berturut-turut sebelum tewas 1-6, 6-3,6-1.

Pemain Serbia berusia 34 tahun itu pada awalnya tidak pasti untuk menyertai temasya berkenaan tetapi didorong oleh maruahnya untuk mewakili negaranya selain peluang untuk memungut pingat emas dan berpotensi menyapu bersih kesemua gelaran grand slam tahun ini.

Dia telah memenangi Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Kejohanan Wimbledon sebelum menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan depan selaku pilihan utama, biarpun selepas kejutan yang berlaku hari ini.

Keputusan itu bermakna Djokovic menerima nasib yang sama seperti Roger Federer, yang tidak pernah memenangi pingat emas acara perseorangan Sukan Olimpik.

Ia menyaksikan hanya Steffi Graf pernah meraih Golden Slam selepas memenangi pingat emas Sukan Olimpik Seoul dan kesemua gelaran kejohanan utama pada 1988.