Dua penerjun pilhan dari China, Shi Tingmao dan Wang Han, tetap merendah diri menjelang final acara 3 meter papan anjal individu wanita esok biarpun mendominasi saingan sejak pusingan kelayakan di dua tempat teratas.

Hujung minggu lalu, kedua-dua penerjun berkenaan turut meraih pingat emas sewaktu bergandingan dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.

Dalam pusingan separuh akhir hari ini, Shi Tingmao (371.45 mata), menduduki tangga teratas di depan Wang Han (346.85), manakala wakil Kanada, Jennifer Abel (341.40) berada di tempat ketiga.

Dalam satu temubual bersama wartawan Nadi Arena, Shi Tingmao berkata: "Saya perlu mencuba yang terbaik (untuk mendapatkan pingat emas kedua) kerana emas itu boleh menjadi milik sesiapa esok.

"Apa yang penting saya perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Wang Han pula menambah: "Saya fikir semua peserta berpeluang kerana persaingan amat sengit. Kesemua kami menantikan acara final esok."

Sebagai rekod, Malaysia akan diwakili oleh Nur Dhabitah Sabri dalam final acara itu esok.

Nur Dhabitah menamatkan saingan separuh akhir di tempat keenam dengan 312.06 mata.