Pemain tenis Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff, disahkan positif COVID-19 dan terpaksa melupakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Gauff, yang mara sehingga pusingan 16 Kejohanan Tenis Wimbledon sebelum tewas kepada Angelique Kerber, telah mengumpulkan lebih daripada AS$1 juta (RM4.21 juta) wang kemenangan musim ini dan melonjak ke tangga ke-25 ranking dunia Persatuan Tenis Wanita (WTA).

Pemain berusia 17 tahun itu telah merekodkan 31 kemenangan dan 12 kekalahan sepanjang kempen musim ini dan menjuarai Kejohanan Terbuka Emilia-Romagna di gelanggang tanah liat Mei lalu.

Dia mengumumkan perkara itu dalam laman media sosialnya semalam dengan berkata: "Saya amat kecewa untuk berkongsi berita bahawa saya telah diuji positif COVID dan tidak dapat beraksi dalam Sukan Olimpik di Tokyo.

"Ia sentiasa menjadi impian saya untuk mewakili AS dalam Sukan Olimpik dan saya berharap akan ada lebih banyak peluang untuk saya menjadikannya kenyataan pada masa akan datang.

"Saya mahu mengucapkan selamat berjaya buat pasukan AS dan semoga selamat buat setiap Olimpian dalam keluarga besar Sukan Olimpik," katanya.