Tokyo 2020: Berbasikal trek perlu sedia berkorban dalam final

Shaiful Shamsudin
Julai 19, 2021 11:12 MYT
Pemburuan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi acara berbasikal trek tidak bersandarkan kepada kemahuan atlet semata-mata.
Malah, faktor strategi yang akan menentukan sama ada skuad negara berputih mata atau berdiri megah di podium.
Menurut olimpian negara, Rosman Alwi, yang pernah memikul harapan Malaysia dalam dua edisi, iaitu pada 1984 dan 1988.
Lantas, Rosman berpandangan ketua jurulatih negara, John Beasley dan dua anak didiknya itu perlu mencongak strategi berdasarkan aksi peringkat awal bagi memastikan Malaysia mempunyai peluang terbaik mencabar emas dalam acara keirin dan pecut.
"Kalau fikir demi nama Malaysia, salah seorang harus berkorban. Ini pengorbanan sebagai atlet dan setia kawan.
"Yang mana satu lebih menyerlah di peringkat saringan, mereka harus berpakat dengan John Beasley.
"Kena buat strategi untuk menang emas kalau kedua-duanya masuk final," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.
Skuad negara untuk edisi kali ini diwakili dua atlet, iaitu Datuk Azizulhasni Awang serta Shah Firdaus Sharom.
Pada pandangan Rosman, Shah Firdaus juga mempunyai kredibiliti untuk berkayuh sehebat Azizulhasni.
"Kena berkorban tapi dalam masa sama masing-masing perlu cuba (untuk menang).
"Kalau dapat menang 1-2 lagi bagus."
#Berbasikal #Sukan Olimpik Tokyo #Tokyo 2020 #Trek