Juara Kejohanan Tenis Wimbledon, Ash Barty, mempunyai peluang yang besar untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo buat Australia.

Itu pandangan bekas juara Wimbledon, Pat Cash, sambil memberikan amaran bahawa masih ada ruang untuk menyaksikan kejutan dalam saingan perseorangan lelaki dan wanita.

Monica Puig mencipta kejutan apabila muncul juara edisi di Rio pada 2016 -- dia yang ketika itu berada di rangking ke-34 dunia mengejutkan Angelique Kerber dalam final selain turut menewaskan Petra Kvitova dan Garbine Muguruza dalam laluannya memenangi pingat emas pertama buat Puerto Rico.

Roger Federer dan Novak Djokovic merupakan dua pemain legenda yang masih belum menikmati gelaran juara Sukan Olimpik, sesuatu yang amat dimahukan jaguh Serbia, Djokovic, dalam memburu Golden Slam tahun ini.

Cash, Bagaimanapun, tidak akan terkejut seandainya ada kejutan dalam Sukan Olimpik kali ini walaupun berharap rakan senegaranya, Barty, dapat mengungguli acara wanita.

Dia berkata kepada Stats Perform: "Acara wanita amat-amat seimbang. Jika anda tidak beraksi baik dalam salah satu perlawanan itu, anda akan tersingkir.

"Akan tiada perlawanan mudah dalam pusingan pertama dalam kejohanan seperti Sukan Olimpik, terutama dalam saingan lelaki dengan tiga set terbaik. Jadi jika anda melakukan kesilapan, anda akan tersingkir.

"Tiada peluang untuk bangkit daripada ketinggalan dua set kerana ia sudah berakhir. Jadi ia agak berbahaya buat pemain seperti Djokovic yang gemar menggerakkan lawannya ke segenap gelanggang.

"Ash mempunyai peluang yang besar untuk memenangi Olimpik tetapi saya fikir ada 30 wanita lain yang yakin mereka juga boleh melakukannya dan mereka mungkin betul.

"Kita pernah melihat keputusan yang tak terduga dalam Sukan Olimpik dan kejohanan pendek seperti itu, juga dalam acara lelaki.

"Amat sukar untuk memperkatakannya tetapi amat jelas (Barty) berada dalam prestasi terbaik dan penuh keyakinan -- ia akan menjadi perjalanan yang panjang untuk memenangi pingat emas," katanya.