Malaysia tiada masalah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam Sukan Olimpik Tokyo bermula Jumaat ini.

25 atlet negara yang sudah tiba di Jepun juga selesa dengan keadaan di Perkampungan Sukan biarpun Malaysia diletakkan dalam kategori khas ekoran jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi di tanah air.

"Alhamdulillah wakil negara telah memasuki Perkampungan atlet tanpa masalah besar, ujian calitan terhadap mereka juga bebas (daripada jangkitan) sejak dari Malaysia lagi.

"Setiap hari mereka akan menjalani ujian air liur.

"Atlet juga sudah mula menggunakan gelanggang kejohanan untuk berlatih, semuanya tiada kes (jangkitan) dan kontak rapat.




"Kami juga mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa fokus," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Apa yang menjadi kebimbangan ialah jangkitan di Perkampungan Sukan yang kian meningkat yang dilihat mampu menjejaskan misi memburu tiga pingat termasuk emas.

"Kami tidak ke mana-mana, cuma berikan fokus kepada latihan dan pertandingan.

"40 peratus kes COVID-19 di sini mungkin datang dari luar Jepun.

"Dengan sekitar 11,000 penyertaan, tahap kes jangkitan ini masih dalam keadaan terkawal.

"Saya harap tiada penularan yang parah jadi kami boleh berlatih seperti biasa agar atlet dapat beraksi," kata Ketua Sekretariat Malaysia, Datuk Nazifuddin Najib.