Seramai 40 individu dan 18 atlet negara menempuhi prosedur ketat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita sebelum menuju Perkampungan Sukan di Tokyo, pagi tadi.

Kontinjen Sukan Olimpik Tokyo yang bermula Jumaat ini sempat menerima amanat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Rata-rata teruja dengan pemandangan dengan penempatan mereka yang menghadap dermaga di Harumi.

"Untuk tiga hari pertama ini kami hanya dibenarkan ke tempat latihan dan dewan makan sahaja. Kami akan patuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

"Saya agak teruja menginap di bilik ini," kata pemain beregu campuran, Goh Liu Ying, di Nadi Weekend sebentar tadi.

Pemain beregu lelaki, Aaron Chia, pula tidak mengabaikan faktor keselamatan berikutan beberapa kes COVID-19 yang tercetus di perkampungan sukan.

"Ramai orang di sini, kena jaga jarak.

"Kebanyakan kami duduk dengan rakan senegara," katanya.





Sementara itu, Dhabitah Sabri, mengakui melalui harian yang memenatkan kerana cabaran di lapangan terbang yang memerlukan mereka menjalani pelbagai ujian selain aspek dokumentasi.

"Kebanyakan kami tertidur ketika dalam perjalanan ke perkampungan sukan," kata pemenang tiga pingat gangsa Sukan Komanwel itu.

Dalam pada itu, pemangku chef-de-mission (CDM), Datuk Nazifudin Najib, juga meluangkan masa untuk berkongsi status kontinjen negara di Jepun sambil berseloroh ada atlet yang sudah mencari mi segera.

"Pada awalnya kami ada sedikit gementar tapi menjadi reda apabila selesai semua ujian kesihatan.

"Atlet nampak fokus. Semua sudah bersedia dan atlet baru juga mendapat amanat daripada perdana menteri," katanya.