Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menepati ramalan mara ke peringkat suku akhir Piala Tan Sri P. Alagendra selepas membenam cabaran TNB Thunderbolt 7-3, malam ini.

Berdepan pasukan yang dibarisi pemain muda, THT tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran lawan.

Empat gol dalam suku pertama dan kedua menceritakan dominasi unggul pasukan kendalian Sarjit Singh itu, bermula dengan jaringan Ismail Abu pada minit kedua dan kemudiannya Tengku Ahmad Tajuddin melebarkan kedudukan 2-0.

Dua lagi gol terhasil menerusi pakar sudut penalti mereka, Jang Jong Hyun, masing-masing pada minit ke-18 dan 25.

TNB Thunderbolt cuba memberikan tentangan dengan menghadirkan dua gol menerusi Muhammad Hazzim Amin dan juga Muhammad Idris Samad.

Aksi selepas rehat, THT terus garang dengan Jang Jong Hyun sekali lagi meledak menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

TNB Thunderbolt kembali merapatkan kedudukan kepada 5-3, kali ini menerusi Muhammad Arif Syafiee pada minit ke-47.

Dua gol dalam babak akhir perlawanan menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari, menjadikan kedudukan 7-3 untuk meranapkan sisa-sisa perjuangan TNB Thunderbolt menghidupkan peluang ke peringkat suku akhir.

"Mungkin kerana lawan kami (TNB Thunderbolt) dibarisi pemain muda, maka pemain saya bersikap agak sambil lewa.

"Kalau dikira permainan hari ini biasa-biasa sahaja dan kami perlu tingkatkan tahap permainan.

"Kalau mereka dapat menjaringkan dua gol daripada empat percubaan pukulan sudut penalti, ia sesuatu yang tidak bagus.

"Saya harap kami dapat memperkukuhkan benteng ketika menghadapi pukulan sudut penalti," kata Sarjit.

Dari kaca mata jurulatih TNB Thunderbolt, Nor Saiful Zaini, dia akur dengan keputusan hari ini biarpun tidak memihak kepada pasukannya.

"Dari sudut positifnya, pasukan lawan mempunyai pemain yang boleh menjaringkan gol dan kami juga dapat menjaringkan gol.

"Tidak apalah pemain muda saya melepaskan gol. Perkara baiknya menerusi pengalaman awal ini kita dapat lihat potensi kita dalam melahirkan pemain-pemain kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mengecewakan finalis edisi lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), 3-2 biarpun pada suatu ketika ketinggalan 2-0 dalam suku ketiga.

KEPUTUSAN LAIN HARI INI:

UPM-KPT 1-8 Maybank
PDRM 2-4 Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)
RMAF Rajawali 1-5 MBPJ
universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2-0 UiTM-KPT
FT: Nurinsafi Hokey 4-4 Politeknik-KPT (Politeknik mara ke suku akhir menerusi penentuan pukulan penalti 3-1)

UNDIAN SUKU AKHIR:

MBPJ lawan SSBJ - 4 petang, Stdm KLHA
Politeknik-KPT lawan Terengganu Hockey Team (THT) - 6 petang, Stdm KLHA
UniKL lawan Maybank - 4 petang, Stdm Tun Razak
KLHC lawan SSTMI - 6 petang, Stdm Tun Razak

Kredit Imej: Malaysian Hockey Confederation