TNB Thunderbolt dinobat juara Piala Presiden selepas menundukkan SSTMI 7-2 dalam final Divisyen 1 yang berlangsung di Stadium Tun Razak, sebentar tadi.

Seawal suku pertama, permainan menarik disajikan kedua-dua pasukan, namun TNB terlebih dahulu di depan menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar pada minit ketiga.

Enggan mengalah, SSTMI bangkit mengikat kedudukan menerusi Zulhamizan Awang hasil gerakan pukulan sudut penalti.

Kedudukan tersebut, bagaimanapun, hanya bertahan untuk beberapa saat apabila TNB kembali di depan menerusi dua jaringan pantas hasil penyudah Nursyahmi Zulkifli dan Kamil Yusop.

Dalam suku kedua, TNB menambah dua lagi jaringan juga menerusi Kamil dan Akhimullah.

Sedikit kebangkitan dilakar SSTMI dalam suku ketiga menerusi jaringan kedua Zulhamizan.

TNB kemudian kembali mendominasi suku kempat, dengan giliran Idris Samad mencatat nama selaku penjaring sebelum Izham Azhar melengkapkan kemenangan 7-2 TNB Thunderbolt ke atas SSTMI.