Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mencatat kemenangan kedua dalam saingan TNB-Liga Hoki Wanita Malaysia selepas menewaskan naib juara musim lalu, Blue Warriors, 3-0 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang tadi.

Tuan rumah mendahului 1-0 menerusi pukulan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid pada minit kelapan, dengan serangan demi serangan selepas itu menyaksikan Nur Aisyah Hashim dan Fazilla Sylvester Silin hampir menggandakan jaringan TLHT.

Fazilla, bagaimanapun, tidak mensia-siakan peluang pada minit ke-23 selepas melepaskan pukulan kencang menewaskan penjaga gol Blue Warriors, Mas Huzaimah Md Aziz.

Jaringan ketiga tuan rumah hadir hanya dua minit kemudian melalui Hanis Nadiah Onn, hasil gerakan berpunca daripada pukulan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid.

Pasukan pelawat cuba mencari gol pertama, malangnya percubaan Nur Adriana Mohd Nawawi pada minit ke-26 gagal menemui sasaran.

Bersambung dalam babak kedua, barisan pertahanan TLHT yang diketuai kapten, Siti Noor Amarina Ruhaini, terus kukuh sehinggalah minit ke-51 apabila Norbaini Hashim hampir menjaringkan gol sagu hati pelawat tetapi pukulannya tinggi melepasi pintu gol tuan rumah.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan membolehkan skuad kendalian Mohd Aseri Abd Aziz itu mengumpul enam mata di tangga teratas liga.