Selepas muncul juara dalam penyertaan sulung TNB Liga Hoki Wanita Malaysia, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bertekad mahu terus membuktikan penguasaan dengan menjulang Piala Vivian Sours yang bermula Rabu ini.

“Melihat kepada prestasi semasa, tiada masalah untuk kami mara ke final, seterusnya menjulang trofi kedua musim ini.

“Tiada halangan lagi untuk kami muncul juara kerana dua pencabar terdekat, Blue Warriors dan PKS-Uniten-KPT, akan membuat perhitungan sesama sendiri.

“Kami mahu meneruskan kecemerlangan yang dicipta skuad lelaki yang memenangi Piala Tan Sri P. Alagendra dan Piala TNB.

“Terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri serta Persatuan Hoki Terengganu (PHT) yang mempersiapkan pasukan ini yang pertama kali menyertai liga kebangsaan,” kata pengendalinya, Mohd Aseri Abd Aziz.

TLHT menamatkan saingan liga dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Persatuan Hoki Johor Bharu (JBDHA) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, kelmarin.

Gol-gol TLHT disumbangkan Nuraini Abdul Rashid (m-8, m-50), Norazlin Sumantri (m-10), Hanis Nadiah Onn (m-11) dan Wan Norfaiezah Md Saiuti (m-59).

Lebih manis, pakar flik negara, Nuraini Abdul Rashid, turut dijulang selaku penjaring terbanyak dengan 17 gol, sekaligus meneruskan kecemerlangan selepas menganggotai skuad kebangsaan dalam Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia, Januari lalu.

“Kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa semangat berpasukan dan kerjasama kami sepasukan untuk mencatat kemenangan demi kemenangan.

“Meskipun memiliki rekod baik dalam liga, kami tetap akan fokus menghadapi Piala Vivian Sours serta memperbaiki kelemahan yang ada.

“Saya juga ingin meningkatkan lagi prestasi semasa dan berharap dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk menambah koleksi jaringan,” ujar Nuraini.

TLHT akan berdepan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam aksi separuh akhir timbal balik pada 8 dan 10 Mac ini.