Pasukan The Komanz Kru Racing (TKKR) mengorak langkah menjalin kerjasama dengan pasukan berpangkalan di Sepanyol, SAG, dalam usaha mempersiapkan pelumbanya untuk menyertai Kejohanan Motosikal Eropah (CEV) musim ini.

TKKR mengambil langkah drastik untuk menyertai saingan Kejohanan Moto2 Eropah (CEV) dan menjadi pasukan persendirian pertama dari Malaysia mengambil bahagian.

Bersandarkan juara Asia, Azlan Shah Kamaruzaman serta Ramdan Rosli, TKKR mengharapkan gandingan kedua-duanya mampu menyerlah dalam kejohanan itu.

Lebih menarik, mereka menjalin usahasama dengan pasukan SAG yang bersaing dalam kancah Moto2 dan Azlan serta Ramdan bakal menjalani latihan bersama pelumba mereka, Remy Gardner dan Tetsuta Nagashima, dalam sesi ujian tertutup di Almeria, Sepanyol, 14 Februari ini.

"Pengalaman yang dimiliki Azlan dan Ramdan sudah cukup untuk membawa pasukan bersaing dalam saingan ini," kata Pengurus TKKR, Bobby Farid Shamsuddin.

Selain itu, TKKR juga berhasrat untuk menakluki saingan utama, CP150 Cub Prix musim 2019. Dua musim sebelum ini menyaksikan mereka sekadar menjadi pencabar dengan menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan.

"Kami masih belum mendapatkan peraturan untuk saingan CP150 untuk musim terbaru. Kami akan terus mencuba memberikan persembahan yang lebih baik," tambahnya.