Skuad tinju negara bakal berkelana ke Kazakhstan bermula ‪15 hingga18 November‬ depan untuk menjalani sesi persiapan terakhir sebelum ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Lokasi tersebut dipilih atas dasar mendapatkan kepelbagaian latihan serta rakan sepelatih berpengalaman bagi meraih prestasi terbaik skuad kebangsaan.

Meskipun kemungkinan menghadapi cabaran sengit daripada wakil Thailand dan tuan rumah, Filipina, atlet kelahiran Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Mohd Rezuan, percaya dengan keserasian yang lahir bersama jurulatihnya, Azmi Md Yunus, bakal membuahkan hasil di Filipina nanti.

"Saya harap dapat mengelak bertemu dengan peninju Filipina dan Thailand dalam pusingan awal memandangkan mereka lebih banyak pendedahan di luar negara berbanding saya dan dari situ, saya nampak bahawa saya agak ketinggalan berbanding peninju dua negara berkenaan," ujar Fuad.

Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) turut menyenaraikan empat peninju lain ke Sukan SEA dengan menggugurkan Khairoll Kalai akibat kecederaan rahang yang dialami ketika Karnival Sukan Antara Perkhidmatan ATM, bulan lalu.

"Kami berharap dapat mencari rakan ‘sparring’ yang lebih baik dalam latihan di Kazakhstan nanti dan saya akan minta bantuan jurulatih tinju dari negara berkenaan untuk membantu peninju negara mempertingkatkan aspek kepantasan tumbukan semasa dalam pertandingan," kata Azmi.