Peninju profesional negara, Adli Hafidz Ahmad Pauzi, masih layak untuk kembali ke saingan amatur walaupun sudah memegang dua tali pinggang kejuaraan profesional, kata jaguh tinju negara, Farkhan Haron.

Ini kerana berdasarkan peraturan Majlis Tinju Dunia (WBC), seseorang peninju dibenarkan bertanding dalam mana-mana saingan selagi belum mendapatkan lesen profesional.

Seseorang peninju itu juga perlu beraksi sekurang-kurangnya dalam 16 pertarungan untuk layak mendapatkan lesen profesional.

Adli Hafidz ketika ini memegang rekod pertarungan lapan kemenangan tanpa tewas, namun berhasrat untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini.

Bagi mengulas mengenai perkara itu, peninju profesional senior negara, Farkhan, memberikan penjelasannya kepada Astro Arena: "Sebelum ini memang ada isu daripada segi perundangan dan peraturan di mana tidak boleh untuk seseorang peninju profesional menyertai acara amatur.

"Tetapi selepas Sukan Olimpik Rio 2016, ada seorang peninju profesional dari Thailand, dia juga kembali ke pentas amatur.

"Jadi saya rasa, seandainya keputusan itu (untuk kembali ke gelanggang amatur) adalah yang terbaik buatnya, tiada isu mengenai perkara itu," katanya.