Tujuh pasukan Formula Satu (F1) bergabung untuk menentang keputusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang mencapai penyelesaian secara tertutup dengan Ferrari berhubung penyiasatan ke atas enjin mereka pada 2019.

Minggu lalu, badan peneraju permotoran itu berkata satu perjanjian telah dicapai bersama pasukan Scuderia itu yang berkaitan dengan analisis jangka panjang terhadap unit kuasa bagi meningkatkan keupayaan jentera berkenaan di jalan yang lurus.

Ferrari sering menafikan sebarang salah laku tetapi pesaing-pesaing mereka kerap mengeluarkan kenyataan bersama sebagai bantahan keras.

Mercedes, Red Bull, McLaren, Renault, Racing Point, Alpha Tauri dan Williams telah menandatangani surat bantahan namun Haas dan Alfa Romeo -- kedua-duanya menggunakan enjin Ferrari -- tidak ikut serta.

Pasukan-pasukan itu menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan langkah seterusnya yang mungkin melibatkan tindakan undang-undang bagi memastikan pendedahan penuh dan tepat daripada FIA.


"Kami, terkejut dan terperanjat dengan kenyataan FIA pada Jumaat lalu atas kesimpulan penyiasatan ke atas unit kuasa Scuderia Ferrari F1," kata kenyataan itu.

"Pentadbir sukan antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan standard tinggi dalam soal tadbir urus, berintegriti dan bersikap telus.

"Selepas beberapa bulan siasatan yang dijalankan FIA, ia hanya membangkitkan persoalan daripada pasukan lain.

"Kami menentang keras tindakan FIA yang mencapai penyelesaian dengan Ferrari secara tertutup sebagai rumusan terhadap perkara ini.

"Oleh itu, kami ingin menyatakan secara terbuka komitmen bersama kami bagi menuntut pendedahan penuh dan tepat dalam hal ini untuk memastikan FIA bertindak secara adil dalam kalangan pesaing. Kami berbuat demikian bagi pihak peminat, peserta dan pemegang taruh F1."