Timmy Tan bersedia untuk mengekalkan status sebagai "raja boling tenpin negara" selepas menamatkan musim 2019 dengan menakjubkan.

Tahun lalu, dia membuktikan status dirinya sebagai antara pemain terbaik negara dalam skuad lelaki yang diketuai sandaran utama, Rafiq Ismail.

Dia menjadi penyumbang berharga buat negara dalam dua kejohanan penting meskipun diuji dengan ketidaktentuan prestasi pada awal musim lalu.

Dalam Kejohanan Asia di Kuwait, Oktober lalu, Timmy mengungguli acara individu dan all events.

Dia kemudian meneruskan prestasi sama dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu dengan menyumbangkan dua pingat emas buat negara.

Justeru, dia yakin dapat meneruskan momentum sama dalam musim ini.

"2019 seperti 'roller-coaster' kerana saya memulakannya dengan tidak berapa baik.

"Kemudian, saya memenangi dua pingat emas dalam Kejohanan Asia dan Sukan SEA pada penghujung tahun.

"Jadi, saya menamatkan 2019 dengan baik.

"Agak susah (untuk kekal cemerlang) tetapi saya tidak rasa ia mustahil.

"Tahun ini, kami mempunyai Kejohanan Asia selain beberapa kejohanan lain.

"Jadi, sasarannya adalah untuk mengekalkan prestasi dan mendapatkan kejuaraan dalam kejohanan terbuka.

"Saya akan berusaha keras untuk tersenarai ke Kejohanan Asia dan harap-harap dapat memenanginya sekali lagi," katanya.




Editor: Muzaffar Musa