Rakyat Indonesia menyifatkan harga tiket upacara pembukaan dan penutup Sukan Asia 2018 yang mencecah RM1,400 sebagai terlalu mahal, sekaligus menyukarkan mereka untuk memberi sokongan di Jakarta dan Palembang, bulan depan.

Harga itu terlalu mahal bagi penduduk yang tinggal di luar Jakarta dan Palembang kerana mereka perlu menanggung kos pengangkutan dan penginapan memandangkan tiket upacara pembukaan ditetapkan di antara RM210 dan RM1,400 sementara upacara penutup sedikit rendah.

Ia diputuskan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia (INASGOC) dan akan mula dijual secara atas talian dan kaunter di seluruh republik itu, Khamis ini.

"Jika harga tiket diletakkan pada nilai 200,000 atau 300,000 Rupiah, ia mungkin munasabah tetapi apabila tiket paling murah mencecah sehingga 750,000 Rupiah, ia jelas terlalu mahal," kata salah seorang penduduk di Surabaya.

"Harga tiket yang ditetapkan tampak sesuai buat golongan pertengahan tetapi buat kelompok bawahan, ia sememangnya mahal," tambah seorang lagi penduduk Surabaya.

Bagaimanapun, harga tiket bagi acara yang dipertandingkan masih boleh diterima, iaitu di antara RM10 dan RM20, sama seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.