Pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Muhammad Noor Faeez Ibrahim dan Harvinder Singh, menerima bonus berganda selepas menjuarai Liga Hoki Malaysia (LHM) 2017 apabila ditawar beraksi dalam Liga Jerman bersama Zehlendorfer Wespen, April depan.

Kelibat Faeez dan Harvinder berjaya menarik minat Zehlendorfer Wespen yang beraksi dalam Divisyen 2, Liga Jerman.

Faeez, terutamanya, sudah meledak enam gol dalam LHM dan memainkan peranan penting ketika KLHC menewaskan Terengganu Hockey Team (THT), Ahad lalu.

"Ketika ini, saya mahu fokus untuk mengharungi Piala TNB -- yang akan berakhir Ahad ini -- bersama KLHC terlebih dahulu.

"Setakat ini, saya masih terikat dengan kerja. Jika saya mendapat pelepasan cuti, maka saya akan pergi," ujar Faeez.

Berbeza dengan Harvinder, pertahanan kelahiran Selangor itu berada dalam dilema untuk ke Jerman.

"Saya pasti akan ke sana.

"Tawaran beraksi di Jerman akan memberi saya peluang untuk meningkatkan lagi tahap skil dan taktikal permainan saya.

"Ia pasti akan memberi saya manfaat untuk membantu KLHC pada masa akan datang," kata Harvinder pula.

Seorang lagi pemain yang turut menerima tawaran Zehlendorfer Wespen ialah penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Azrul Hasbullah.

Mereka dijadual berlepas ke Jerman, hujung bulan depan.