Tiga pelumba luar menjadi harapan Terengganu Cycling Team (TSG) bagi memberi saingan di zon pendakian dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang bermula Ahad ini.

Menurut kapten TSG, Mohd Zamri Salleh, kehadiran Ovechkin Artem, Drew Williams Peters Morey dan Metkel Eyob Teweldeberhan pasti menambah bisa pasukan itu yang gagal bersaing sebelum ini.

Sambil menyifatkan mereka sudah bersedia, Mohd Zamri yakin tidak mustahil buat skuad bimbingan Jeremy Hunt itu memberi cabaran dalam kejohanan kali ini.

“Kami terlalu bergantung kepada pakar pecut dalam edisi-edisi lalu, menyebabkan TSG agak ketinggalan ketika zon pendakian.

“Persiapan tahun ini lebih baik, termasuk kem latihan di Melbourne, Australia, di mana kami berjaya meraih kedudukan podium dalam beberapa perlumbaan,” katanya.

Sementara itu, pengurus TSG, Zhen Yu Feng, berkata barisan pelumba yang membawa cabaran kali ini merupakan barisan terbaik walaupun sedar masih berdepan tentangan pasukan-pasukan lain.

Yu Feng juga menjelaskan sasaran lebih besar diletakkan pada 2018 dengan memperbaiki ranking kategori Asia dalam Siri Jelajah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Berada di tangga ke-10 ketika ini, mereka dihimpit prestasi kurang memberangsangkan dan perlu bekerja keras untuk kembali menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik.

“Misi TSG tahun ini ialah mendapatkan kedudukan podium dan untuk melakukannya, kesemua pelumba ada peranan masing-masing.

“Setiap kejohanan adalah berbeza. Namun, dengan persiapan rapi, kami akan menterjemahkan hasil dalam perlumbaan nanti,” tambah Yu Feng.

Mereka ditemui pada Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Perasmian Pejabat TSG di Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir ialah EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, Pengarah Eksekutif TSG, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab.