Legenda ragbi dunia, Sir Gordon Tietjens, menganggap pembukaan akademi oleh Kelab Ragbi Eagles (ERC) Sandakan sebagai sesuatu yang sangat bermakna dan istimewa bagi dirinya.

Bekas pemain All Blacks itu berkata beliau terharu kerana akademi itu diberi nama sempena dengan namanya yang sebelum ini pernah memeriahkan sukan ragbi 7's dunia.

"Selepas mengendalikan pasukan New Zealand selama 22 tahun, saya ingat saya akan bersara tetapi akhirnya saya kembali untuk memberikan sesuatu dalam permainan ini.

"Sekiranya saya boleh menjadikan permainan ragbi 7's semakin baik di Asia, saya mahu melakukannya dengan cara lebih besar," katanya sempena majlis pelancaran Akademi Ragbi Eagles Sir Gordon Tietjens di Sandakan, hari ini.

Turut hadir, Presiden ERC, Vela Tan, Presiden Ragbi Asia, Aga Hussain, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong, dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Jawatankuasa Malaysia Timur, Dr KH Tan.

Sementara itu, Tietjens berkata ERC memiliki segala kemudahan yang diperlukan dalam sukan ragbi dan pembukaan akademi berkenaan sangat tepat pada masa dan tempatnya.

"Saya telah melihat banyak kemudahan sukan di dunia...apa yang saya boleh katakan, ERC ada segalanya yang diperlukan dalam sukan ragbi, termasuk daripada segi kemudahan latihan," katanya.

Terdahulu, Vela berkata dia mengambil masa lebih 15 tahun untuk menjadikan pembukaan akademi itu satu kenyataan.

"Kami telah bekerja keras sepanjang waktu itu dan sudah pasti banyak cabaran yang ditempuhi...kami mengeluarkan kos yang sangat banyak untuk ini (membuka akademi).

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana ada pihak yang sanggup membantu kami sehingga impian ini tercapai. Kejayaan ini khas untuk sukan ragbi di negara ini, khususnya di Sabah," katanya.