Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Nur Aiman Zariff, percaya tiada kesukaran untuk mengadaptasi rentak kayuhan apabila menjadi taruhan bagi beraksi dalam dua acara trek dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Meskipun lebih banyak terbabit dalam perlumbaan berbentuk jelajah dan lebuh raya bersama TSC tahun ini, ia tidak menghalang Aiman memberi tumpuan kepada saingan trek.

Selepas tamat kem latihan di Turki pada April lalu, Aiman mula menyertai rakan sepasukan trek yang lain dengan tumpuan utama terarah kepada membina rentak kayuhan konsisten.

"Semasa awal tahun lalu, saya banyak memberi tumpuan kepada jalan raya, tetapi tinggal dua bulan sebelum Sukan SEA, saya bertukar ke trek. Tiada banyak masalah, kayuhannya sama," kata Aiman.

Selain acara kejar-mengejar individu, Aiman juga akan menyertai saingan kejar-mengejar berpasukan bersama Irwandie Lakasek, Afiq Huznie Othman dan Daniel Haikal Edy Suhaidee.

Kuartet itu mempamer kayuhan bertenaga untuk menduduki tempat keenam dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, Februari lalu.

Sementara itu, dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, Aiman bersama-sama Irwandie, Afiq dam Eiman Firdaus Mohd Zamri meraih emas acara itu selain memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 4 minit 999 saat.

"Saya perlu tambah kekuatan dan ketahanan untuk melengkapkan prestasi saya. Selain itu, semua nampak tiada masalah.

"Jadi, saya perlu tingkatkan lagi latihan untuk memperbaiki catatan masa," kata Aiman lagi.