Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan kerajaan tidak memperuntukkan ganjaran buat atlet paralimpik negara, Ziyad Zolkefli, namun terdapat beberapa individu yang berhasrat menghadiahkan ganjaran peribadi.

"saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan tidak akan memberikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM)," kata Faizal.

“Saya akan berhubung dengan Ziyad bagi berbincang mengenai ganjaran berkenaan. Ada pihak lain yang ingin memberi tawaran kepada beliau Ziyad kerana melihat kejayaannya pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lalu itu.

“Apa bentuk ganjaran yang bakal diterima Ziyad tidak molek saya umumkan di sini kecuali beliau sendiri yang mahu maklumkan sendiri,” katanya.

Itu reaksi Menteri Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengenai status ganjaran Ziyad selepas atlet itu terbukti lewat tiba di bilik menunggu ketika Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos lalu.

Keputusan itu dimuktamadkan Jumaat lalu apabila rumusan tersebut dibuat Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam laporan diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, Faizal tidak ingin sesiapa menunding jari mencari kesalahan kerana kejadian tersebut telahpun menjadi satu hukuman besar buat yang terlibat.

Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, mengumumkan langkah proaktif supaya insiden yang menimpa jaguh lontar peluru para negara itu.

MPM akan memastikan jurulatih yang mengiringi atlet ke temasya sukan selepas ini menandatangani 'aku janji' untuk memperingatkan tugas utama dan Sukan Para Remaja Asia (AYPG) di Bahrain bulan depan akan menjadi kumpulan jurulatih pertama menandatangani perjanjian tersebut.