Selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia, Terengganu Hockey Team (THT) kini bertekad untuk menjulang Piala TNB pula.

Bagi pemain tengah THT, Fitri Saari, dia serta rakan sepasukannya tidak mahu lagi berdepan kekecewaan dan berharap dapat melepasi saingan separuh akhir bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam separuh akhir pertama esok serta perlawanan timbal balik, Jumaat ini.

"Memang rasa amat kecewa kerana kami gagal mempertahankan gelaran liga. Tapi inilah kenyataannya, iaitu untuk memenangi kejuaraan itu lebih mudah daripada mempertahankannya.

"Sepanjang saingan liga, sememangnya kami mendominasi perlawanan tetapi ketumpulan di bahagian serangan banyak menjejaskan keputusan yang diraih.

"Harap perkara sama tidak berulang dalam saingan separuh akhir nanti," katanya.

Mengulas perlawanan dengan UniKL esok, Fitri berkata dia serta rakan sepasukan masih mengingati bagaimana sukarnya untuk menewaskan lawan mereka itu dalam saingan liga, dengan perlawanan terakhir menyaksikan mereka sekadar meraih keputusan seri 2-2.

"Tapi untuk esok, kami akan bermain habis-habisan. Kami perlu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan separuh akhir pertama," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, berkata beliau mahu barisan pemainnya bermain secara bijak apabila bertemu THT.

"Untuk permulaan, kami perlu pastikan harapan untuk beraksi dalam final masih cerah selepas berakhir separuh akhir pertama.

"Kami tidak boleh membiarkan lawan mendominasi perlawanan dan memenangi perlawanan esok dengan jaringan yang besar," katanya.