Dominic Thiem gembira apabila Roger Federer akan kembali beraksi dengan kedua-dua pemain itu akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Tenis Terbuka Qatar minggu ini.

Federer tidak pernah beraksi sepanjang 13 bulan lalu -- sejak Terbuka Australia tahun lalu -- bagi mejalani pembedahan lutut.

Pemain berusia 40 tahun itu akan kembali beraksi di Doha minggu ini, kejohanan di mana dia banyak meraih kejayaan sepanjang beberapa tahun lalu dengan menjuarainya sebanyak tiga kali.

Juara Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu, Thiem, yang mengatasi kedudukan ranking Federer sepanjang ketiadaan pemain Switzerland itu, juga akan beraksi di Qatar dan teruja untuk melihat pemenang 20 gelaran grand slam itu melakukan penampilan semula.

"Kami seteru dan sudah pasti kami mahu menewaskan sesama sendiri dalam kejohanan tetapi saya masih gemar untuk menyaksikannya bermain tenis," kata pemain pilihan utama kejohanan itu.

"Dia kelihatan amat hebat, caranya bermain, pendekatan yang diambilnya dalam perlawanan tenis.

"Selain itu, saya masih peminat besarnya dan kerana itulah saya benar-benar gembira apabila dia kembali dan saya dapat menyaksikannya sekali lagi.

"Itulah yang sedang difikirkan kebanyakan orang dan harap-harap dia akan kembali dengan kuat seperti biasa," katanya.

Federer dan Thiem pernah bertemu sebanyak tujuh kali dengan pemain Austria itu memegang kelebihan dengan lima kemenangan ke atas bekas pemain nombor satu dunia itu.