Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, mengambil serius kekalahannya kepada pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra, dalam saingan Pra-Sukan Asia baru-baru ini, sekali gus perlu memperbaiki kelemahannya sebelum saingan sebenar bermula pada 18 Ogos hingga 2 September depan.

Tewas buat kali pertama di tangan pencabar utamanya itu dengan keputusan 5-0 adalah sesuatu yang bukan disengajakan Al Jufferi tetapi sememangnya kemampuan pesilat Indonesia itu telah berada di tahap terbaik.

Kekalahan itu memberi pengajaran berguna kepada juara dunia 2016 itu untuk terus berusaha memperbaiki prestasi, di samping tidak akan memandang mudah terhadap mana-mana pesaing lagi selepas ini.

Sekurang-kurangnya, dia dapat menilai kemampuan pihak lawan dengan lebih baik sebelum Sukan Asia di Jakarta dan Palembang bermula.

"Saya tidak boleh memandang mudah pihak lawan yang sebelum ini, maksud saya mereka mungkin sama tetapi strategi dan taktikal mereka telah berubah.

"Sebelum ini, mungkin mereka menyerang dan kini mereka bertahan, jadi saya perlu mengubah cara saya," kata Jufferi.

Kejohanan terdekat yang bakal disertai barisan pesilat negara adalah Terbuka Belgium pada 1 Mei depan, di mana pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu bertekad ingin menebus kekalahannya kepada Komang Harik di sana.

"Saya memang akan bertemunya kerana kami bermain dalam kategori sama. Dia telah menewaskan saya, jadi harapannya untuk menang selepas ini lebih tinggi kerana semangatnya pasti berkobar-kobar," katanya.