Permulaan baik buat ratu terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, apabila meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama, Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Beijing, China, hari ini.

Ini adalah pentas pertama Siri Dunia yang menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu bermula dengan langkah kanan apabila menghimpun 312.24 mata.

Selepas bermula baik dengan meraih 50.40 mata dalam terjunan pertama, Pandelela dan Jun Hoong kembali melonjak ke tangga kedua selepas memukau dalam terjunan keempat dan berjaya mengekalkan kecemerlangan itu dalam terjunan terakhir.

Ia sekali gus menamatkan saingan di belakang penerjun tuan rumah, Zhang Jiaqi dan Zhang Minjie, yang memungut 368.22 mata menerusi aksi konsisten sejak awal.

Wakil Australia, Melissa Wu dan Taneka Kovchenko, yang pada awalnya berada di kedudukan tercorot, berjaya bangkit untuk meraih pingat gangsa selepas mengumpul 299.46 mata.

Sementara itu, kecemerlangan gagal diteruskan wakil negara dalam acara 3 meter papan anjal seirama menerusi gandingan penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri, yang ketinggalan di tangga tercorot selepas mengumpul 282.84 mata.

Seperti diramal, emas acara itu milik penerjun China, Yiwen Chen dan Wang Han, yang meraih 336.12 mata, jauh meninggalkan pasangan Australia dan Kanada yang masing-masing meraih perak dan gangsa.