Terjunan tidak konsisten meleburkan harapan wakil negara, Nur Dhabitah Sabri, untuk mencipta impak berada di podium saingan 3 meter papan anjal Kejohanan Terjun Siri Dunia 2018 di Beijing, China, sebentar tadi.

Dalam kalangan enam penerjun yang beraksi dalam final, Dhabitah memulakan saingan dengan langkah kanan menerusi catatan 67.50 mata.

Momentum Dhabitah, bagaimanapun, gagal diteruskan apabila dia dihukum dalam teknik terjunan keduanya untuk catatan 46.50 mata, yang secara tidak langsung menjejaskan usahanya mencabar tempat tiga teratas.

Dua terjunan berikutnya menyaksikan Dhabitah kembali dalam prestasi sebenar tetapi pesaing dari tuan rumah khususnya lebih hebat.

Menuju terjunan kelima, Dhabitah dengan darjah kesukaran 3.0 sekadar memungut 58.50 mata, lalu meletakkannya di tangga tercorot (306.00 mata) dalam kalangan enam peserta yang menyaksikan Shi Tingmao (392.10 mata) muncul juara, disusuli Wang Han (380.40 mata) manakala Jennifer Abel di tempat ketiga (354.30 mata).