Penerjun negara, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang, gagal meraih slot secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah gagal menjuarai acara 3 meter papan anjal individu dalam Kejohanan Terjun Piala Asia, hari ini.

Dalam pusingan kelayakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Yiwei dan Tze Liang kelihatan berada di tahap terbaik apabila masing-masing meraih tempat pertama dan kedua menerusi 411.95 dan 387.20 mata.

Bagaimanapun, dalam aksi final, kedua-dua atlet kebangsaan itu tewas tipis apabila wakil Jepun, Ken Terauchi, muncul juara dengan 426.10 mata.

"Sangat kecewa kerana saya mempersiapkan diri dengan pelbagai program latihan, kemudian bertarung dengan kecederaan. Saya gagal melakukannya dan ia sangat mengecewakan kerana sudah berusaha keras," ujar Yiwei.

Atlet kelahiran Klang, Selangor itu juga menjelaskan situasi itu berpunca daripada hilang fokus ketika terjunan kelimanya yang menyebabkan dia melakukan kesilapan kecil.

"Saya tidak berada pada tahap kecergasan terbaik. Ia sepatutnya tiada masalah kerana saya yang menggagalkan terjunan itu. Saya hilang fokus dan ia menyebabkan kegagalan saya."

Setakat ini, hanya tiga penerjun negara sudah layak ke Olimpik Tokyo, iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Wendy Ng Yan Yee.

Sementara itu, gandingan campuran kebangsaan, Leong Mun Yee-Hanis Nazirul Jaya Surya, mempamerkan aksi hambar apabila sekadar meraih pingat gangsa bagi acara 10m campuran seirama.

Ketika terjunan pertama, gandingan negara itu kelihatan seperti berada di tahap terbaik setelah menyamai kutipan 49.20 mata dengan gandingan Korea Selatan.

Bagaimanapun, terjunan yang kurang memuaskan dalam aksi seterusnya mengakibatkan mereka hanya mengumpul 46.20 mata, sekali gus terlepas peluang membutirkan emas di laman sendiri dengan 293.70 mata keseluruhan.

"Tempat ketiga sudah dijangka kerana wakil China dan Korea Utara sangat bagus. Saya dan Nazirul sudah tidak bergandingan dalam tempoh yang lama dan keputusan dilakukan pada saat akhir. Saya rasa persembahan hari ini tidak terlalu bagus tetapi tidak buruk," kata Mun Yee.

Tempat pertama dimenangi gandingan China, Duan Yu-Zhang Min Jie, berbekalkan 317.94 mata, diikuti wakil Korea Utara (297.24 mata).