Selepas hampir setahun tidak terbabit dalam kejohanan, gandingan penerjun negara, Wendy Ng-Nur Dhabitah Sabri, unggul untuk membantu Malaysia merangkul pingat emas kedua buat negara dalam "Kejohanan Terjun Antarabangsa Atas Talian Malaysia apabila mendominasi 3 meter wanita seirama.

Mereka cemerlang mengumpul 298.98 mata keseluruhan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, pada hari pertama yang menawarkan tiga emas, apabila jauh meninggalkan Zara Tullipan dan Milly Puckeridge dari Australia yang sekadar meraih 239.43 mata sementara Harriet Kaan dan Ellie Cole -- juga dari Australia -- di tempat ketiga.

Terlebih dahulu dalam kategori 3 meter papan anjal lelaki, Malaysia mempertaruhkan Ooi Tze Liang, Chew Yi Wei dan Syafiq Puteh.

Tze liang dan Yi Wei tiada masalah mara final untuk berentap dengan enam lagi peserta sementara Syafiq terkandas di peringkat saringan.

Tze Liang cemerlang memperagakan rutin kemas untuk menghimpunkan 408.05 mata bagi memastikan emas mengjadi miliknya.

"Ini bentuk kejohanan yang baru, satu pengalaman yang agak menarik.

"Tahap persembahan saya agak sederhana, ada juga berlaku kesilapan tadi jadi aksi hari ini tidaklah terlalu bagus atau buruk," katanya.




Yi Wei yang menyambar tempat kedua dengan terjunan 365.60 mata tetap berpuas hati dengan mutunya berdasarkan kriteria persiapan yang telah ditempuhinya.

"Aksi hari ini mencetuskan semangat seperti kejohanan kompetitif.

"Oleh kerana saya lebih memberi tumpuan kepada membina kekuatan, saya berasa gembira dengan prestasi kali ini," katanya.