Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, tidak memberikan jaminan mampu mempamer terjunan terbaik dalam acara 1 meter papan anjal kerana kecederaan belakang yang dialami sebelum ke Kejohanan Dunia di Budapest masih lagi terasa.

Merujuk kepada balutan elastik yang jelas dapat dilihat pada belakang badan Jun Hoong dalam sesi latihan harian di Pusat Akuatik Nasional, ternyata kesakitan dan kecederaan lamanya masih lagi dirasai.

Jun Hoong memberi gambaran awal berkenaan situasinya yang tidak berada pada kondisi terbaik menjelang aksi 1m papan anjal yang akan berlangsung hari ini.

"Kedua-dua acara, papan anjal dan platform menghadirkan kesukaran berbeza. Apa yang saya boleh lakukan adalah cuba memberikan yang terbaik kerana keadaan tubuh saya tidak berapa baik sejak Kejohanan Dunia lagi," ujarnya.

Tambah Jun Hoong, itu tidak bermakna sasaran keseluruhan emas terjun akan terjejas kerana dia tetap memilih untuk memberi aksi terbaik dalam penampilan kali kelapan dalam Sukan SEA.

1m papan anjal bukan acara yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan merupakan satu-satunya acara yang disertai Jun Hoong untuk Sukan SEA kali ini.

"Tekanan tidak terletak pada bahu kami sahaja, sasaran kami adalah untuk menyapu bersih semua acara. Bagi saya, kami akan mengetepikan soal tekanan, malah memberikan fokus untuk pamer aksi yang terbaik," tambah Jun Hoong.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.