Seramai 150 pemain tenis bakal berentap dalam Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Gred 4 2017 di Kompleks Tenis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 14 hingga 21 Mei ini.

Menurut Pengarah Kejohanan, Hashim Ibrahim, penganjuran kali kedua di Kuala Terengganu itu akan menghimpunkan pemain tenis yang memburu mata untuk meningkatkan ranking remaja dunia.

Selain Malaysia, antara negara yang menghantar wakil ialah India, Jepun, Thailand, Singapura, Norway, Hong Kong, Perancis, Australia, dan banyak lagi.

Turut mengesahkan penyertaan, juara bertahan perseorangan lelaki, Hua Chen Yu dari Taiwan, yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan kali ini.

Harapan negara dalam acara lelaki diletakkan pada Christian Didier Chin, 17, yang kini menghuni rangking 231 dunia, selepas muncul juara perseorangan Kejohanan Remaja Persekutuan Tenis Dunia (ITF) Gred 5 di ibu negara, Mac lalu.

Malah, pemain dari Sabah itu merupakan juara bertahan acara beregu lelaki bersama pemain Korea Selatan, Park Ui Sung, pada kejohanan ini, tahun lalu.

Pemain adik-beradik, Uma Sara Nayar, 16, dan Sara Alisha Nayar, 15, pula akan menggalas cabaran Malaysia dalam acara wanita.

Juara bertahan acara perseorangan adalah pemain India, Mihika Yadav, yang turut menjuarai acara beregu bersama pasangannya dari Taiwan, Hsuan Yu Lin.

“Uma dan Sara Nayar juga adalah semi finalis dalam Kejohanan ITF Gred 5 di Kuala Lumpur dan mereka kini menjalani latihan di Australia sebagai persiapan kejohanan ini.

“Diharapkan ketiga-tiga pemain ini mampu mengekalkan rentak dan memperoleh kejayaan lebih manis di bumi Terengganu,” ujar Hashim, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Tenis Terengganu (PTT).

Hashim berkata demikian selepas Mesyuarat Sekretariat Kejohanan yang dipengerusikan Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Mohd Sabri Abas, yang berlangsung, semalam.