Pasukan Ragbi Terengganu (TRT) melangkah ke separuh akhir Air Asia Liga Ragbi Malaysia Divisyen 2 selepas menang 51-17 ke atas Universiti Sains Malaysia (USM) Jokers di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu, petang tadi.

USM Jokers mengejutkan tuan rumah pada minit kesembilan menerusi penalti yang disempurnakan Mohd Izzuwan Ahmad Sukri, namun kedudukan berubah hanya dua minit kemudian.

TRT melakukan dua try melalui pemain sayap, Mohamad Hakim Hafizzudin dan ketua pasukan, Abdul Latif Said, serta menyempurnakan satu convertion untuk medahului 12-3.

Mohamad Hakim terus menyinar dengan dua lagi try (m-23, 34) sebelum satu try dan satu conversion daripada Abdul Latif meletakkan TRT 29-3 di depan pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, USM merapatkan kedudukan 10-29 melalui try Mohd Azhari Mahmud dan conversion Ahmad Nabil Abd Jalil.

Namun, TRT kembali menjarakkan kedudukan hasil dua try pemain gantian, Mohamad Khairul Nur Azmi dan Mohamad Hakim, serta satu conversion Abdul Latif menjadikan kedudukan 41-10.

Pelawat menjadikan kedudukan 17-41 menerusi try dan conversion Mohammad Faiz Jamaludin tetapi TRT lebih unggul dengan melakukan dua lagi try Muhammad Haikal Ibrahim.

Kedudukan 51-17 kekal sehingga tamat perlawanan dan membawa skuad kendalian Izami Zainuddin itu ke separuh akhir yang akan berlangsung 4 Mac ini.