Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, mengesahkan negeri itu telah melantik jurulatih baharu dari Thailand, Pongsak Taojue, untuk membimbing pasukan sepak takraw wanita menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

“Kami telah melakukan persiapan awal, malah kesemua acara sukan wajib telah memulakan latihan intensif sejak 1 November lalu.

“Sukan sepak takraw menawarkan enam pingat emas dan Terengganu berpotensi untuk memburu kesemua acara yang dipertandingkan.

“Negeri ini tidak ketandusan pemain-pemain yang berwibawa dan kami melihat 2018 adalah masa yang sesuai untuk negeri ini mengintai peluang dalam acara wanita.

“Strategi kali ini adalah untuk mengekalkan penguasaan dalam kategori lelaki selain memberi lebih penekanan kepada pasukan wanita kerana Terengganu dilihat berupaya untuk bersaing dalam kategori itu,” ujar Ibni Amin.

Pada edisi tahun lalu di Sarawak, cabaran skuad sepak takraw wanita Terengganu berakhir di peringkat suku akhir dalam acara berpasukan, regu dan beregu.

“Sebagai bekas pemain kebangsaan Thailand, Pongsak akan memberi tumpuan khusus untuk membangunkan pasukan wanita.

“Kami mahu sekurang-kurangnya satu emas yang dimenangi kali terakhir dalam Sukma 2012, mampu diulangi, sekaligus membantu Terengganu muncul juara keseluruhan,” tambahnya lagi.