Andy Murray mengakui bergelut dengan tuntutan fizikal dalam perlawanan berdepan Alex De Minaur dalam Terbuka Zhuhai.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang berhempas-pulas ketika berdepan Tennys Sandgren dalam pusingan pertama Selasa lalu, tewas 4-6, 6-2, 6-4 kepada pemain berusia 20 tahun dari Australia, De Minaur, dalam pusingan kedua, semalam.

Murray kelihatan di tahap terbaik ketika memulakan saingan, namun De Minaur mempertingkatkan lagi mutu persembahan dalam set kedua sebelum menang dalam set penentuan.

Wakil Scotland itu berusaha untuk bangkit, namun De Minaur memberikan asakan serta permainan pantas hingga memaksa Murray bergelut mengikut rentak permainan.

"Saya mengakui bergelut secara fizikal," kata Murray, yang menjalani pembedahan pinggul Januari lalu. "Tahap permainan saya menurun dan De Minaur menggunakan peluang untuk mengatasi saya.

"Badan saya kepenatan selepas dua perlawanan yang panjang dan gagal meneruskannya hari ini."

Tumpuan Murray kini beralih ke Beijing dan Terbuka China minggu depan sementara pemain berusia 32 tahun itu turut mengambil bahagian dalam acara perseorangan Shanghai Masters.