Serena Williams meninggalkan kempen Terbuka Wimbledon dengan tangisan apabila kecederaan menghalangnya daripada meneruskan aksi dalam pusingan pertama ketika bertemu Aliaksandra Sasnovich.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu -- yang mendambakan gelaran grand slam ke-24, kembali ke kejohanan kegemarannya itu yang pernah menyaksikannya muncul juara sebanyak tujuh kali -- gagal menahan air matanya gara-gara terpaksa menarik diri.

Williams sedang mendahului 3-1 dan tampaknya mempunyai kawalan penuh dalam pertemuan di Center Court itu.

Begitupun, dia tergelincir ketika cuba membalas pukulan lawannya hingga mengakibatkan kecederaan buku lalinya dalam game kelima.

Dengan pergerakannya yang jelas terhad, Sasnovich mula mempamerkan kebangkitan hingga memaksa Williams mendapatkan rawatan.

Dia kemudian diberi tepukan gemuruh ketika berusaha menyambung perjuangannya tetapi masih kelihatan tidak selesa.

Bagaimanapun, kelibat pemain berusia 39 tahun itu tidak bertahan lama apabila terpaksa berhenti di kedudukan 3-3 selepas mengerang kesakitan ketika berusaha untuk membalas pukulan lawan.