Impian Emma Raducanu untuk bertemu idolanya, Simona Halep, dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Transylvania tidak kesampaian selepas tewas kepada Marta Kostyuk awal pagi tadi.

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu memenangi kejohanan di Cluj awal minggu ini tetapi gagal meneruskan rentak sama di tempat kelahiran bapanya apabila tewas kepada Kostyuk dalam suku akhir.

Pemain berusia 19 tahun dari Ukraine, Kostyuk, hanya memerlukan 57 minit untuk menyingkirkan Raducanu dengan kemenangan 6-2, 6-1 untuk mara ke separuh akhir buat kali ketiga sepanjang tahun ini.

Raducanu perlu menyalahkan dirinya sendiri selepas melakukan 41 unforced error berbanding 16 yang dilakukan Kostyuk, di mana dua double fault yang dilakukan pemain Britain itu pada awal permainan ternyata membuatkan lawannya lebih berkeyakinan.

Sementara itu, pilihan utama kejohanan, Halep, tidak berdepan masalah untuk menewaskan seorang lagi pemain Romania, Jaqueline Cristian.

Kemenangan berkenaan turut menyaksikan Halep mengekalkan rekod 100 peratus ke atas rakan senegaranya itu.