Simona Halep memulakan aksi pertamanya di gelanggang tanah liat musim ini dengan bergaya apabila mudah menyingkirkan Marketa Vondrousova dengan kemenangan straight set malam tadi.

Pemain pilihan kedua itu sedang memburu final pertamanya di Stuttgart dan kelihatan berada dalam prestasi terbaik apabila hanya memerlukan 56 minit untuk menewaskan Vondrousova 6-1, 6-3.

Vondrousova -- naib juara Terbuka Perancis 2019 -- memenangi kedua-dua pertemuan terakhirnya dengan Halep tetapi kali ini, dia tidak dapat menandingi pemain nombor tiga dunia itu, yang telah memenangi kesemua kejohanan tanah liat utama selain di Stuttgart.

"Memulakan musim di gelanggang tanah liat membuatkan saya benar-benar gembira dan bermotivasi, lebih bermotivasi sebenarnya," kata Halep dalam sidang media.

"Saya rindu untuk beraksi. Saya melalui beberapa minggu tanpa perlawanan rasmi dan ia agak mencabar pada ketika saya memulakan perlawanan tetapi minda saya cukup kuat untuk hanya memberikan fokus kepada apa yang saya perlukan. Jadi, saya melakukannya dengan baik hari ini dan ia merupakan perlawanan yang hebat.

"Saya agak gugup sebelum perlawanan ini kerana saya pernah dua kali bertemu dengannya dan dia menewaskan saya kesemuanya.

"Ia amat penting untuk minda saya, untuk permainan saya kerana musim di gelanggang tanah liat akan menjadi amat sukar.

"Kini, perlawanan ini memberikan saya keyakinan bahawa tahap saya tinggi dan jika saya terus melakukan perkara sama, saya akan baik-baik sahaja," katanya.

Halep seterusnya akan berdepan Ekaterina Alexandrova, yang menewaskan pemain nombor 12 dunia, Belinda Bencic.