Shelby Rogers menjangka sebanyak sembilan juta ancaman bunuh akan diterimanya berikutan kekalahannya kepada Emma Raducanu dalam pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.

Hanya dua hari selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan pemain nombor satu dunia dan pilihan utama, Ash Barty, Rogers tunduk 2-6, 1-6 di tangan Raducanu.

Pemain sensasi berusia 18 tahun itu lolos ke suku akhir Grand Slam pertamanya untuk menjadi pemain daripada peringkat kelayakan yang mara ke suku akhir kategori dalam era terbuka di Flushing Meadows.

Setelah dibanjiri dengan pujian susulan kemenangannya ke atas Barty, Rogers mengakui dia bimbang sambutan itu mungkin akan bertukar arah.




Sebelum ini, Sloane Stephens mendedahkan dia menerima lebih daripada 2,000 mesej penghinaan di media sosial selepas tewas kepada Angelique Kerber dalam pusingan ketiga, lantas rakan senegaranya di kem AS itu berwaspada agar tidak mengalami nasib serupa.

"Saya berharap media sosial tidak wujud, tetapi itulah hakikatnya ketika ini. Ia adalah sebahagian besar daripada bentuk pemasaran hari ini.

"Kami mempunyai kontrak, kami harus memuat naik perkara-perkara tertentu," kata Rogers.

"Sila lihat profil saya sekarang, saya digelar 'babi gemuk' selain kata-kata yang tidak boleh saya sebutkan. Tetapi, maksud saya, itulah hakikat yang perlu dihadapi. Saya cuba untuk tidak mengambil hati dan ini adalah bahagian yang tidak disukai dalam apa jua sukan sekalipun termasuk apa yang kita lakukan."