Casper Ruud mengatasi Cameron Norrie dalam final Kejohanan Tenis Terbuka San Diego untuk menjulang gelaran Jelajah ATP kelimanya musim ini.

Ruud, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, terlalu hebat buat Norrie sebelum meraih kemenangan 6-0, 6-2 dalam final kejohanan ATp 250 itu hari ini.

Pemain Norway itu memenangi gelaran ATP pertamanya di gelanggang keras, dan kemenangan ke atas Norrie itu memastikan dia kini menjadi pemain yang memenangi gelaran terbanyak dalam siri jelajah berkenaan dengan lima kejuaraan -- mengatasi pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, juara Terbuka Amerika Syarikat, Danill Medvedev, dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Alexander Zverev (kesemuanya dengan empat gelaran).

Ruud mematahkan servis sebanyak lima kali untuk kini mencerahkan peluangnya layak ke Final Jelajah ATP di Turin bulan depan.

"Terima kasih buat Rod (Laver), yang sememangnya seorang legenda. Saya fikir anda perlu datang menyaksikan kesemua perlawanan saya selepas ini kerana saya bermain dengan amat baik dan anda berada di sini menyaksikannya," kata Ruud sebaik menerima trofinya daripada Laver.

"Saya harap anda akan datang ke perlawanan di Indian Wells minggu depan, jadi kita akan lihat (apa yang bakal berlaku di sana)."