Emma Raducanu mencipta sejarah dalam sukan tenis apabila menjadi pemain pertama daripada pusingan kelayakan menjuarai kejohanan grand slam selepas menewaskan Leylah Fernandez 6-4, 6-3 dalam final Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang berada di ranking ke-150 Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan hanya pernah beraksi sekali dalam kejohanan utama (Kejohanan Wimbledon tahun ini), menikmati laluan yang luar biasa di Flushing Meadows dan terbukti lebih unggul berbanding Fernandez, 19, yang turut beraksi dalam final grand slam pertamanya.

Wakil Britain, Raducanu -- finalis wanita termuda dalam kejohanan grand slam sejak Maria Sharapova memenangi Kejohanan Wimbledon 2004 pada usia 17 tahun -- tidak menunjukkan sebarang perasaan gugup dalam set pembukaan dan jelas memanfaatkan kelebihan itu untuk meraih kemenangan.

Aksi turun-naik dalam set kedua menyaksikan kemenangan boleh berpihak kepada mana-mana pemain tetapi sebaik ketinggalan satu mata, Raducanu bangkit dengan pukulan servis terbaiknya untuk muncul juara perlawanan final epik di antara dua bintang sedang meningkat naik itu.

Raducanu, yang menikmati tempoh tiga minggu paling hebat di New York, memecahkan rekod demi rekod, di mana dia melepasi pusingan kelayakan tanpa tewas sebarang set dan meneruskannya dalam saingan utama untuk menjadi pemain pertama menjuarai Terbuka AS tanpa tewas sebarang set sejak Serena Williams melakukannya pada 2014.