Alexander Zverev akhirnya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Perancis selepas memperoleh kemenangan selesa 6-4, 6-1, 6-1 ke atas Alejandro Davidovich Fokina lewat malam tadi.

Pemain pilihan keenam itu turun beraksi dalam penampilan suku akhir ketiganya di Roland Garros, di mana dia terkandas dalam dua percubaan sebelum ini.

Selepas tidak begitu konsisten ketika melakukan servis pada awal permainan, Zverev tidak lagi mengulangi kesilapan itu untuk mengesahkan kemenangan mudah di Gelanggang Philippe-Chatrier.

Menantinya selepas ini adalah pemain pilihan kelima, Stefanos Tsitsipas, yang melakar kejutan menewaskan pilihan kedua, Daniil Medvedev, dalam satu lagi perlawanan suku akhir.