Stan Wawrinka yakin masa depannya cerah selepas berjaya bangkit daripada kecederaan utama serta bakal kembali sebagai pencabar utama gelaran grand slam.

Pada usia 34 tahun, Wawrinka percaya tempoh masanya bermain dalam Jejalah ATP bakal diteruskan, dengan sasaran seterusnya untuk mempamerkan aksi terbaik dalam saingan Wimbledon.

Terdapat ramai yang meragui Wawrinka akan kembali ke tahap terbaik saingan perseorangan lelaki selepas bergelut sejak permulaan tahun 2018 berikutan pembedahan lutut yang dijalani ternyata merencatkan kariernya buat seketika.

Perkembangannya kelihatan konsisten ketika bertemu rakan senegaranya, Roger Federer, hingga membawa perlawanan ke empat set di Roland Garros, semalam.

Federer berjaya meraih dua tie-break sebelum memastikan slot ke separuh akhir Terbuka Perancis dan bakal berdepan Rafael Nadal.

"Ya, saya boleh mengesahkan bakal kembali mempamerkan aksi terbaik dan bersaing dengan kelompok utama saingan.

"Hari ini merupakan perlawanan yang sengit. Saya tewas kepada pemain terbaik sukan ini. Saya lebih positif berbanding sedih atau kecewa dengan keputusan ini," ujarnya.

Wawrinka menjadikan Federer yang berusia 37 tahun itu masih lagi mengekalkan persembahan terbaik berbanding pemain-pemain terdahulu yang bersara pada usianya.

"Selagi saya menikmati apa yang saya lakukan, saya akan terus bermain.

"Tetapi saya tidak tahu sampai bila.

"Selepas ini, saya akan berehat sebelum kembali ke saingan gelanggang rumput. Saya merancang beraksi di Stuttgart, Queen dan Wimbledon."