Dominic Thiem tersingkir daripada Kejohanan Tenis Terbuka Perancis apabila juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan finalis dua kali di Roland Garros itu tewas kepada Pablo Andujar malam tadi.

Thiem kelihatan akan mudah untuk memperoleh kemenangan dalam aksi pembukaan di Paris itu selepas memenangi dua set pendahuluan.

Bagaimanapun, Andujar mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menamatkan perjuangan pemain nombor empat dunia itu dalam pemburuan final ketiganya.

Pemain sepanyol berkenaan unggul dengan 4-6, 5-7, 6-3, 6-4, 6-4 bagi memastikan kemenangan pertamanya ke atas pemain dalam kelompok ranking lima teratas dunia pada usia 35 tahun.