Naomi Osaka menarik diri daripada Kejohanan Tenis Terbuka Perancis awal pagi tadi dengan berkata ia merupakan "perkara terbaik buat kejohanan, pemain lain dan kesejahteraan saya".

Perkembangan dramatik itu hadir selepas pemain nombor dua dunia dari jepun itu mendedahkan bahawa dia tidak mahu terlibat dengan sebarang sidang media dalam kejohanan di Roland Garros itu.

Dia berkata keputusan itu diambil atas alasan kesihatan mental atlet dan Osaka turut mengumumkan bahawa dia mahu berehat daripada sukan tenis, di mana ia mungkin menggambarkan bahawa dia juga tidak akan beraksi dalam Kejohanan Wimbledon.

Dalam pengumuman mengenai penarikan dirinya, Osaka berkata dia telah lama menderita akibat kemurungan sejak memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2018.

Ketua kejohanan grand slam itu memburukkan lagi keadaan berkenaan apabila mengugut bahawa penyertaan Osaka boleh dibatalkan seandainya terus melanggari ketetapan berkenaan.

Osaka kemudian menggunakan cara tersendiri dalam menangani perkara itu, sehari selepas memenangi perlawanan pusingan pertama.

Dia menulis dalam Twitter: "Hai semua, situasi ini bukanlah sesuatu yang pernah saya bayangkan atau berniat ketika saya melakukan kiriman mengenainya beberapa hari lalu. Saya fikir apa yang terbaik buat kejohanan ini , pemain lain dan kesejahteraan saya sekarang adalah dengan saya menarik diri agar semua orang dapat kembali fokus dengan kejohanan tenis di Paris.

"Saya tidak pernah mahu menjadi gangguan dan saya mengakui bahawa masa ini tidak sesuai dan mesej saya sepatutnya lebih jelas.

"Perkara lebih penting, saya tidak akan meremehkan kesihatan mental atau menggunakan istilah ini dengan sewenang-wenangnya.

"Sebenarnya, saya telah lama menderita akibat kemurungan sejak memenangi Terbuka AS pada 2018 dan saya berdepan waktu yang amat sukar untuk menghadapinya," katanya.