Naomi Osaka enggan terlibat dengan sidang media sepanjang beraksi dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis bermula hujung minggu ini atas alasan demi kesihatan mental.

Osaka -- juara bertahan Terbuka Asutralia dan pemenang empat gelaran grand slam -- mengumumkan mengenai boikotnya terhadap media menjelang kejohanan Roland Garros itu.

Di bawah peraturan Terbuka Perancis, seperti kebiasaan mana-mana kejohanan tenis, setiap pemain perlu menyertai sidang media selepas setiap perlawanan.

Osaka merupakan atlet wanita dengan pendapatan tertinggi dan akan didenda oleh penganjur kejohanan itu seandainya pemain nombor dua berkenaan tidak mahu melibatkan diri dengan sidang media.

Dia berharap denda yang akan dikenakan ke atasnya dapat disumbangkan kepada badan amal kesihatan mental.

"Saya menulis ini untuk memaklumkan bahawa saya tidak akan terlibat dengan sebarang sidang media sepanjang Roland Garros," Tulis Osaka dalam satu ciapan Twitter.

"Saya kerap berasakan bahawa ramai tidak mengambil kisah dengan tahap kesihatan mental atlet dan ini berlaku ketika saya melihat sidang media atau sedang berada dalamnya.

"Kami sentiasa duduk di sana dan ditanya dengan soalan yang sama berulang kali atau ditanya dengan soalan yang menimbulkan keraguan dalam fikiran kami dan saya tidak mahu menjadi subjek buat mereka yang meragui saya.

"Saya melihat banyak video atlet kecewa selepas kekalahan dalam bilik media dan saya pasti anda juga pernah melihatnya. Saya percaya seluruh situasi ini menjadi tamparan buat seseorang ketika mereka kecewa dan saya tidak faham alasan di sebalik ini.

"Saya tidak akan menyertai sidang media, tiada apa-apa secara peribadi terhadap kejohanan ini.... Bagaimanapun, jika pihak penganjur fikir mereka boleh berkata 'buat sidang media atau awak akan didenda', dan terus tidak mengendahkan mengenai kesihatan mental atlet menerusi kerjasama mereka, saya hanya akan ketawa."

Osaka akan menuju ke Paris dengan rekod tidak pernah melepasi pusingan ketiga Terbuka Perancis.

Permain berusia 23 tahun itu tidak menyertai edisi tahun lalu kerana pandemik koronavirus tetapi dinobatkan sebagai juara Terbuka Amerika Syarikat di Flushing Meadows.