Rafael Nadal mendapati "sukar untuk menggambarkan" perasaannya selepas meraih gelaran ke-10 Terbuka Perancis yang tidak pernah terjadi dalam kejohanan sama sebelum ini .

Nadal mempamerkan prestasi menakjubkan ketika mengatasi pilihan ketiga, Stan Wawrinka, 6-2, 6-3, 6-1, dalam perlawanan akhir di Gelanggang Philippe Chatrier untuk mencipta sejarah kejohanan.

Kemenangan membawa pemain kelahiran Sepanyol itu kepada gelaran utama ke-15, mengatasi Pete Sampras dan meletakkan namanya di belakang pemegang rekod sepanjang zaman, Roger Federer (18 gelaran), di samping menghantarnya ke kedudukan kedua dalam ranking buat kali pertama sejak Oktober 2014.

Selepas merangkul kemenangan, Nadal begitu beremosi dan bergelut untuk menjelaskan apa yang dia rasa mengenai rekod baru sejarah tenis itu.

"Ia adalah final yang luar biasa dan ia istimewa untuk memenangi 'La Decima'.

"Saya cuba yang terbaik dalam semua kejohanan tetapi perasaan saya di sini sukar untuk digambarkan. Sukar untuk dibandingkan dengan tempat lain.

"Saya gementar, saya rasakan adrenalin ketika bermain di gelanggang ini dan ia mustahil untuk bandingkannya dengan perasaan lain.

"Ini adalah acara yang paling penting dalam kerjaya saya, tiada keraguan, jadi memenanginya di sini adalah sesuatu yang saya tidak boleh terangkan."

Coupe des Mousquetaires disampaikan kepada Nadal oleh bapa saudaranya, Toni, dalam suasana penuh beremosi dan dia mengucapkan terima kasih kepada bekas jurulatihnya itu kerana membantu mencapai tahap bersejarah.

"Ia sukar untuk bercakap hari ini tetapi satu-satunya perkara yang boleh saya katakan adalah terima kasih," katanya.

"Bagi saya, berada di sini untuk banyak tahun adalah sesuatu yang sukar untuk digambarkan. Setiap kali saya datang kembali, saya melihat ramai orang yang rapat dengan saya, itulah sebabnya ia sukar untuk dibandingkan dengan kejohanan lain. Anda sentiasa akan berada dalam hati saya.

"Terima kasih kepada kawan-kawan saya, keluarga saya, pasukan saya, semua orang yang datang dari seluruh tempat untuk perlawanan akhir yang amat bermakna kepada saya.

"Terutama kepada bapa saudara saya yang telah bersama saya sejak saya berumur tiga tahun. Kami telah banyak bekerja dan tanpa dia, tiadalah trofi dimiliki. Terima kasih untuk segala-galanya.

"Bermain di gelanggang ini dan merasai sokongan daripada anda semua yang saya sayang lebih daripada orang lain adalah luar biasa, jadi terima kasih."