Roger Federer berkata salah satu motivasinya untuk ke gelanggang tanah liat adalah berdepan Rafael Nadal.

Federer dan Nadal yang merupakan dua pemain terbaik sepanjang zaman -- mereka merangkul 37 gelaran grand slam -- bakal bertembung dalam aksi separuh akhir Terbuka Perancis, Jumaat ini.

Pemain kelahiran Switzerland itu beraksi dalam Terbuka Perancis buat pertama kali sejak 2015, selepas mengalami kecederaan lutut dan belakang di samping memberikan tumpuan kepada saingan di gelanggang permukaan rumput.

Selepas menyempurnakan kemenangan ke atas Stan Wawrinka, Federer tidak sabar untuk berdepan 'raja gelanggang tanah liat' di Roland Garros.

"Lawan seterusnya pakar gelanggang tanah liat. Nadal adalah motivasi saya kembali beraksi di gelanggang ini," katanya.

Bagaimanapun, Nadal menjelaskan ia tidak memberikan sebarang motivasi tambahan kepada Federer tetapi berpandangan wakil Switzerland itu mampu bermain baik di semua permukaan gelanggang.

"Perkara paling utama dia berasakan sudah bersedia secara fizikal. Dia kembali ke saingan ini atas kemahuannya.

"Sememangnya ini merupakan perlawanan yang istimewa buat saya dan Federer. Kami akan berusaha menampilkan permainan terbaik.

"Kami berkongsi saat-saat penting dalam karier setiap kali kami bersaing di atas gelanggang."