Terbuka Perancis: Barty tidak akan pertahan kejuaraan

Muzaffar Musa
September 8, 2020 03:54 MYT
Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty, tidak akan mempertahankan kejuaraannya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis
Barty, 24, turun ke gelanggang buat kali terakhir pada Februari lalu dan memilih untuk menarik diri daripada Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS), yang sedang berlangsung di New York, berikutan kebimbangan mengenai penularan COVID-19.
Pemain berbangsa Australia itu memutuskan untuk tidak mempertahankan gelarannya di Paris berikutan pandemik berkenaan dan kebimbangan mengenai tahap persediaannya.
"Ia satu keputusan yang sukar tetapi malangnya saya tidak akan bertanding di Eropah untuk tahun ini," tulisnya dalam Instagram.
"Terbuka Perancis tahun lalu merupakan kejohanan yang amat istimewa dalam karier saya, jadi ia bukan keputusan yang mudah.
"Terdapat dua sebab yang mendorong keputusan saya. Yang pertama adalah disebabkan risiko kesihatan disebabkan COVID. Yang kedua adalah berkenaan persiapan saya, di mana ia tidak ideal tanpa jurulatih dapat melatih saya disebabkan larangan rentas sempadan di Australia.
"Saya mendoakan yang terbaik buat pemain dan Persatuan Tenis Perancis agar mendapatkan satu kejohanan yang berjaya.
"Saya kini merancang untuk mengadakan pramusim panjang dan musim panas di Australia.
"Ia merupakan tahun mencabar buat semua orang dan walaupun saya kecewa daripada aspek tenis, aspek kesihatan dan kesejahteraan keluarga dan pasukan saya perlu diberikan keutamaan.
"Terima kasih kepada semua penyokong kerana terus menyokong. Saya tidak sabar untuk kembali beraksi," katanya.
Kejohanan Roland Garros itu akan bermula pada 27 September ini dengan kehadiran penonton.
#Ashleigh Barty #WTA #Tenis #Tenis Terbuka Perancis